Sejarah Malaysia
Sejarah Malaysia (سجاره مليسيا) adalah baru berbanding cabang dari sejarah dunia Melayu-Indonesia yang lebih luas. Secara budaya dan bahasa, Malaysia dan Indonesia berkongsi ciri yang sama iaitu ciri-ciri masyarakat Melayu Nusantara. Dunia Melayu ataupun Nusantara terdiri daripada wilayah-wilayah Maritim yang luas iaitu Pattani, Kalimantan, Sulawesi, Tanah Melayu, Tanah Jawa, Sumatera, Sulu( Mindanao), Papua, Timor, Kemboja dan Pulau Kalimantan. Kini dunia Melayu dibahagi kepada enam negara - Malaysia,Indonesia, Filipina, Singapura, Brunei dan Timor Timur – secara besar akibat dari pengaruh luar.
Sejarah awal Malaysia bermula dengan kewujudan manusia awal berusia 40,000 tahun yang ditemui di Kompleks Gua Mulu dan kompleks gua niah, Sarawak. Secara dasarnya sejarah negara ini telah melalui empat zaman utama sejarah manusia iaitu Prasejarah, Proto Sejarah, Zaman Pertengahan dan Zaman Kolonial. Namun begitu, penemuan terbaru oleh sejarawan terhadap DNA bangsa melayu meletakkan melayu sebagai bangsa tertua didunia selepas letusan Gunung Toba dengan usia DNA sekitar 60, 000 tahun.
Semenanjung Melayu berubah menjadi pusat perdagangan Asia Tenggara apabila China dan India memulakan perdagangan mereka melalui pelabuhan diSelat Melaka. Penemuan beberapa tapak arkeologi Zaman Proto Sejarah membuktikan wujud penempatan pesisiran pantai seawal abad ke-2 Masihi lagi. Ia membawa kepada kemunculan kerajaan awal sebelum abad ke-10 adalah merupakan penempatan pesisir pantai dan pelabuhan kecil. Ini termasuk Langkasuka dan Lembah Bujang di Kedah, Beruas dan Gangga Negara diPerak, dan Pan Pan di Kelantan. Pada awal abad ke-15, Kesultanan Melaka wujud dan kemakmuran ekonominya telah menarik minat penakluk daripada Portugis pada tahun 1511 diikuti oleh Belanda dan Britain untuk mewujudkan penempatan atau koloni di Selat Melaka.
Manakala di Borneo pula, kewujudan kerajaan purba Marudu sebelum abad ke-13 Masehi dan Santubung lebih awal lagi membuktikan telah wujud entiti politik yang mendahului kewujudan Kesultanan Brunei dan kesultanan Sulu.